Tarekat berasal daripada perkataan Arab bermaksud
jalan atau cara. Yang dimaksudkan di sini ialah jalan atau cara untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Dari sudut istilah ia merujuk kepada
aliran-aliran yang wujud dalam amalan tasawwuf atau amalan penyucian hati dan
jiwa yang selalunya difokuskan kepada pengamalan zikir-zikir tertentu yang
disusun dan dihimpunkan oleh tokoh-tokoh ulama tertentu.
Amalan penyucian diri atau lebih dikenali dengan nama
Tasawwuf adalah sebahagian amalan yang dituntut oleh Islam. Ia berdasarkan
sebuah hadis sahih Bukhari dan Muslim yang menceritakan kisah Jibril
`alihissalam bertemu dengan baginda saw dan bertanya beberapa soalan penting
tentang agama. Antara ialah tentang apa itu iman, apa itu islam dan apa itu
ihsan. Baginda menjelaskan bahawa iman itu ialah kamu beriman kepada Allah,
MalaikatNya, Rasul-rasulNya, Kitab-kitabNya, Hari Akhirat dan dengan ketentuan
baik dan buruk. Islam pula ialah kamu memberi kesaksian bahawa Tiada Tuhan yang
mesti disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mengerjakan
solat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke
Baitillah sekiranya mampu. Ihsan pula ialah bahawa kamu
beribadah/memperhambakan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya.
Sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu.
Iman berkaitan dengan ilmu aqidah iaitu kumpulan
keyakinan di hati terhadap perkara-perkara ghaib. Ia melahirkan ilmu Tauhid
atau Usuliddin. Islam pula berkaitan dengan pengamalan zahir seperti solat dan
sebagainya. Ia melahirkan ilmu Fiqh atau dikenali juga sebagai ilmu syariat.
Ihsan pula berkaitan dengan penyucian jiwa. Dari perbahasan Ihsan inilah
lahirlah ilmu tentang penyucian jiwa yang lebih dikenali kemudiannya sebagai
ilmu Tasawwuf. Dari sini lahir pula aliran-aliran Tasawwuf yang pelbagai yang
dikenali sebagai Tarekat. Kepelbagaian ini berlaku kerana perbezaan fokus
amalan dan perbezaan bentuk-bentuk zikir yang digunakan dalam amalan seharian.
Sebahagian zikir ini dipetik daripada al-Qur’an dan hadis, manakala
sebahagiannya adalah susunan tokoh-tokoh ulama yang menjadi perintis kepada
kumpulan Tarekat tersebut.
Umat Islam wajib menyucikan diri dengan pelbagai
amalan yang membawa kepada penyucian hati. Antara amalan yang dianjurkan untuk
penyucian jiwa ialah zikir-zikir seharian yang banyak disebut dalam al-Qur’an
dan Hadis. Untuk menyucikan diri atau “menjadi ahli sufi”-menurut istilah
beberapa pihak-tidak memerlukan diri mengikuti mana-mana kumpulan Tarekat. Umat
Islam boleh beramal dengan apa sahaja amalan yang sabit menurut al-Qur’an dan
Hadis atau beramal dengan apa sahaja bentuk zikir yang diajar oleh Nabi saw
atau yang disusun oleh ulama tanpa perlu menggabungkan diri kepada mana-mana
kumpulan Tarekat tersebut.Yang penting ialah membekalkan diri dengan ilmu
dengan sentiasa mengikuti majlis-majlis ilmu dan beramal dengan panduan
guru-guru yang bertaqwa dan wara`
Adapun, menggabungkan diri dengan kumpulan-kumpulan
Tarekat ini adalah sesuatu yang baik kerana ia membantu seseorang mendekatkan
diri kepada Allah dengan panduan seorang guru yang mengetua Tarekat-tarekat
tersebut. Namun, perlu dipastikan kumpulan Tarekat tersebut tidak menyeleweng
daripada aqidah yang benar dan syariat yang tepat. Ini berlaku kepada Apa yang
segelintir kumpulan Tarekat yang wujud di alam Melayu. Justeru, rujukan perlu
dibuat kepada pihak berkuasa agama untuk memastikan kumpulan Tarekat yang
dikuti tidak menyeleweng
0 komentar:
Posting Komentar